Thursday 16 May 2013

Antara Takut dan Cinta pada Allah


Tatkala diri ini keseorangan…muhasabah adalah terbaik bagiku…ayuh kawan kita bermuhasabah.. J
Tanya diri kita, adakah kita cinta pada Allah? Apa bezanya cinta dengan takut?

Cuba kita perhatikan secara praktikal perbezaan melakukan sesuatu kerja itu kerana takut dan kerana cinta. Kita akan dapati, melakukan sesuatu kerana cinta itu darjatnya lebih tinggi lagi.

Bagaimana yang dikatakan cinta kepada Allah? Pernahkah kita bercinta? Apakah emosi atau perasaan orang bercinta? Pepatah melayu menukilkan keadaan orang bercinta begini, “Makan tak kenyang, tidur tak lena, mandi tak basah.” Ia bermaksud bahawa orang yang bercinta sentiasa ingat kepada orang yang dicintainya, sentiasa berusaha menggembirakan orang yang dicintai dan sentiasa mengambil perhatian terhadap apa yang disukai oleh orang yang dicintainya.

Adakah kita mempunyai perasaan yang  sama dengan Allah, atau perkataan cinta kepada Allah itu cuma di bibir?

Inilah yang disebut dalam hadis, mereka yang telah mendapat kemanisan iman yakni di dalam hidup mereka tiada yang lebih penting dan lebih dicintai dan lebih dicintai melainkan Allah. Kalau kita katakan kita cinta kepada Allah, cuba imbas satu hari dalam hidup kita, berapa kali kita ingat Allah? Kadang-kadang kita ingat Allah dalam solat sahaja, itu pun kadang-kadang kita lalai juga. Adakah kita tahu apa yang disukai Allah secara spesifik? Adakah kita membuat perancangan harian untuk ‘menggembirakan’ Allah setiap hari?

Muhasabahlah diri kita hari ini. Hanya orang yang bijak dan diberi hidayah oleh Allah yang akan menyedari hakikat hidup ini iaitu mencari kecintaan Allah.

Siapakah yang dicintai Allah? Firman Nya :

Katakanlah (Muhammad kepada mereka) : “Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku nescaya Allah mencintaimu dan mengampunkan dosa-dosamu”….(Ali Imran 3:31)

Taqarrub (dekat) dan mendapat kecintaan Allah disebut dalam hadis Qudsi Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Sesungguhnya Allah s.w.t. berfirman: Sesiapa yang memusuhi wali (kekasih-Ku) maka Aku isytiharkan perang terhadapnya. Tidaklah seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku dengan melakukan suatu amalan yang lebih Aku sukai selain daripada apa yang telah Aku fardukan kepadanya. Dan tidaklah seorang hamba itu sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan mengerjakan amalan-amalan sunat kecuali Aku akan mencintainya. Jika Aku telah mencintainya, Aku adalah pendengaran yang dia mendengar dengannya, penglihatan yang dia melihat dengannya, tangannya yang dia mengambil sesuatu tindakan dengannya, tangannya yang dia mengambil sesuatu tindakan dengannya, dan kakinya yang dia berjalan dengannya. Jika dia memohon sesuatu daripada-Ku, Aku akan memberinya dan jika dia memohon perlindungan daripada-Ku, maka Aku akan melindunginya.” (Riwayat al-Bukhari)

Wallahualam..

Thursday 2 May 2013

MENGAPA IKHLAS ITU PENTING?


Sesiapa yang berhijrah kerana Allah, pasti Allah akan mengurniakan segala kebaikan kepadanya.
Hadis Rasulullah SAW berkaitan dengan niat:

Maka sesiapa yang hijrahnya itu kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu pun kepada Allah dan Rasul-Nya, dan barang siapa yang hijrahnya itu untuk harta dunia yang hendak diperole atau untuk seorang wanita yang hendak dikahwini, maka hijrahnya pun kepada sesuatu yang dimaksudkan dalam hijrahnya itu. (Muttafaq ‘alaih)

Siapa itu Allah? Manusia sebenarnya terlupa bahawa Allah memiliki segala-galanya yang ada di alam ini, yang memiliki segala yang mereka perlukan untuk kehidupan yang terbaik dan bahagia di muka bumi ini. Tanya sesiapa saja, apa yang mereka mahu? Bermacam-macamlah kemahuan manusia, tetapi semua itu milik Allah.

Firman Allah:

Padahal kepunyaan Allah-lah perbendaharaan langit dan bumi, tetapi orang-orang munafik itu tidak memahami. (Al-Munafiqun 63:7)

Hadis tadi menegaskan bahawa sesiapa yang berhijrah dengan tujuan atau niat kerana Allah, pasti Allah akan mengurniakan segala kebaikan kepadanya dan mencukupkan keperluannya. Allah mengetahui keperluan dan kehendak manusia yang boleh mendatangkan kebaikan kepada mereka lebih daripada manusia itu sendiri, sebagaimana firman Allah-Nya:

…Allah lebih mengetahui (perkara yang lebih bermanfaat kepada manusia) sedang kamu tidak mengetahui (manusia mempunyai pengetahuan yang cetek mengenai sesuatu perkara). (Al-Baqarah 2:216)

*Hadis tadi menegaskan bahawa sesiapa yang berhijrah dengan tujuan atau niat kerana Allah, pasti Allah akan mengurniakan segala kebaikan kepadanya dan mencukupkan keperluannya.

            Realitinya, dalam kehidupan ini manusia melakukan sesuatu pekerjaan itu dengan berbagai-bagai tujuan (seperti hadis di atas, berhijrah dengan tujuan mendapat harta atau perempuan) yang mereka harap dapat menggembirakan mereka dalam kehidupan. Itu Cuma harapan dan sangkaan mereka. Mungkin dengan sifat pemurah Allah, mereka yang berhijrah bukan kerana Allah (yakni dengan sebab harta dan sebagainya) mendapat apa yang mereka inginkan tetapi belum pasti apabila mereka memperolehi harta atau perempuan itu, ia dapat memberi kebahagiaan sejati atau ketenangan berterusan dalam kehidupan mereka. Sebabnya, kehidupan yang baik hanya boleh dikecapi dengan amal soleh, sebagaimana firman Allah:

Sesiapa yang mengerjakan amal soleh baik lelaki mahupun perempuan dalam kedadaan beriman, maka pasti akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik…
 (An-Nahl 16:97)

Ingat! Syarat pertama amal soleh adalah IKHLAS. Melakukan setiap perkara semata-mata untuk mencari keredhaan Allah.
Wallahualam.. J

Thursday 25 April 2013

Terkadang kesenangan itu adalah ujian dari-Nya!



“Bukan ke awak pelajar yang nak berhenti kolej kerana nak mengikuti pengajian nursing hari itukan?” soal ustazah sebaik sahaja aku berjumpa dengannya di lorong dewan barakah. Terharunya kerana ustazah masih mengingatiku lagi hingga kini…

Alhamdulillah. Itulah ustazah saya yang bernama Musfirah…beliau merupakan mentorku sewaktu aku di semester satu. Sangat-sangat terharu apabila salam di dahulukan dengan bertanyakan keadaan aku sekarang… Alhamdulillah, tidak terhitungnya rasa syukur ini pada Mu ya Allah kerana dianugerahkan murabbi yang baik hati dan penyayang sepertinya…

            “Ustazah. Masih ingat saya lagi.” Soal aku dengan nada tenang.. aku menyalaminya sambil bertanya khabar masing-masing. Ada beberapa pelajar yang lalu lalang melihat perbualanku dengan ustazah…

“Saya masih ingat lagi. Kamu yang jumpa ustazah waktu dahulu kan? Kamu jumpa uztazah sebab nak tanya pendapat ustazah tentang temuduga yang kamu dapat dahulu…” Senyuman ustazah tak pernah lekang dari bibirnya sewaktu mengimbau kembali peristiwa yang dua tahun lepas… wah! Agak lama juga..

“Ha ah, sayalah yang jumpa ustazah untuk tujuan itu..” Aku juga turut tersenyum melihat ustazah…
“Eloklah tu, ustazah dah pesan awal-awal lagi…alhamdulillah, kamu masih lagi di sini…” senyuman ustazah menguntum lagi di bibirnya..

“Alhamdulillah ustazah, saya bersyukur.. Allah sudah beri jalan dan petunjuk buat saya untuk kekal di sini hingga ke hari ini. Ini semua kuasa istikharah daripada Allah. Dan ini satu ujian kecil buat saya ustazah.” Aku masih lagi berdiri di hadapan ustazah.

“Allah memang nak uji kita..sama ada kita mampu atau tidak.. Jika Allah izinkan kamu ke sana, mungkin kamu tidak mampu untuk belajar dalam bidang kejururawatan itu. Ustazah pun ada seorang kawan yang seperti kamu juga. Waktu itu dia masuk tingkatan enam, nak di jadikan cerita. Dia menamatkan pengajiannya semata-mata nak mengikuti pembelajarannya dalam bidang nursing itu. Dan akhirnya dia berhenti sebab tak boleh nak ikut pengajian itu. Dia kembali semula ke sekolah yang dahulu untuk meneruskan pengajiannya di tingkatan enam.” Ujar ustazah..

“Ustazah doakan saya ya.”
Kataku seraya ustazah untuk berpisah denganku.

“Insya Allah saya akan meneruskan pengajian ke peringkat ijazah selepas ini. Jika diizinkan Allah.” Aku menyalami ustazah dan masing-masing bersurai, dengan pesanan daripadanya supaya jaga diri dan sentiasa mendoakan untuk yang terbaik… TERIMA KASIH ustazah!

Begitulah perbualan ringkasku dengan ustazah..

Allah telah menetapkan perancangan untuk hambaNya di luar pengetahuan hamba Nya. Hanya manusia yang tergopoh gapah untuk mendapatkan sesuatu, untuk meneruskan kehendak hati masing.. walhal “SEBAIK-BAIK PERANCANGAN KITA, PERANCANGAN ALLAH S.W.T. ADALAH LEBIH BAIK DARIPADA HAMBANYA.”

Dan saya percaya pada takdir dan ketentuan dari Nya… jika kita berusaha untuk mendapatkan sesuatu semata-mata ingin mendapatkan keredhaan dari Nya. Maka Allah akan memudahkan segala urusan untuk hamba Nya. Insya Allah. Jika kesenangan yang kita kecapi pada hari ini, ingatlah..mungkin itu ujian kecil dari Nya. Jika kesukaran yang kita alami pada hari ini, ingatlah itu bahawa ujian untuk hambaNya yang benar-benar ingin mendapatkan sesuatu yang terbaik dalam hidupnya. Insya Allah. Bersangka baiklah terhadap Allah s.w.t. moga kita tidak terhijab daripada kebaikan yang kita akan perolehi suatu hari nanti. Allahumma Amin. J

Inilah wajah-wajah yang mendidik saya..Ustaz Amad Effat tiada dalam gambar.. syukran jazilan ya Muallim!
Saya bersyukur kerana dapat belajar dalam biah Islamik dan selalu mendapat tarbiyah dari semua pensyarah dan sahabat sepanjang berada di sini.. saya sayang kalian kerana Allah.. :)

Awasi Sifat Ego dan Bersederhanalah


Alhamdulillah..syukur… Blog indahnya percaturan Mu kali ini akan kongsikan sedikit tentang perihal sikap ego. Ego yang menebal dalam diri menyebabkan kita gagal untuk mengawasi diri dan orang yang berada di sekeliling kita. Oleh itu, kita haruslah bersikap optimis dalam sesuatu perkara dan jangan hanya mengikut hati kita tika emosi dan fikiran terganggu.. Insya Allah… Tinta Pengarang.

Firman Allah s.w.t:

Maksudnya:
Janganlah engkau palingkan pipi (muka) engkau terhadap manusia (kerana sombong), dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takabbur bagi membanggakan diri. (Surah Luqman 31:18)

            Seterusnya Luqman mengingatkan anaknya, “Janganlah palingkan mukamu daripada manusia lantaran kesombongan dan keegoanmu terhadap mereka, sebaliknya temuilah mereka dengan wajah yang ceria dan berseri-seri tanpa ada rasa takabbur dan meninggi diri. Janganlah kamu berjalan di atas muka bumi ini dalam keadaan yang angkuh kerana sifat tersebut antara perkara yang menjadikan kemurkaan Allah s.w.t.

            Bersederhanalah pada setiap langkahmu. Janganlah menunjukkan sifat lemah dan tidak berdaya ketika berjalan dan terkinja-kinja seperti orang nakal.” Al-Sa’r adalah penyakit yang dihidapi oleh unta menyebabkan ia memalingkan tengkoknya. Ia merupakan gambaran dan perumpamaan yang dilukiskan oleh al-Quran dalam tegahan “wala tuso’ ‘iru.” Ini adalah perumpamaan bagi Muslim yang menyeru Allah s.w.t dalam keadaan berbangga, gerak geri yang menggambarkan sifat angkuh dan sombong. Memalingkan muka daripada manusia lain dalam keadaan takabbur dan kagum dengan diri sendiri dan tidak prihatin dengan orang lain. Ini semua boleh menimbulkan kemarahan manusia dan telah pun jelas membuktikan bahawa mereka menghidap penyakit. (Fi Zilal al-Quran: 5/2790)

Luqman mengingatkan anaknya, firman Allah s.w.t:

Maksudnya:
Dan sederhanakanlah langkah perjalananmu. (Surah Luqman 31:19)
Maksud firman Allah s.w.t di atas ialah tidak tergopoh-gapah dan tidak mencari jalan untuk bersifat bongkak. Langkah yang sederhana menuju kepada matlamat mulia, tidak sambil lewa dan sombong. Mengatur langkah menuju cita-cita dengan ceria dan progresif. (Fi Zilal al-Quran :5/2790)

Daripada Abu Hurairah Nabi S.A.W:

Maksudnya:
“Berjalan tergopoh-gapah menghilangkan haibah seorang Mukmin.”
(Riwayat Abu Naim)

Saidatina Aisyah menjelaskan tentang peribadi Saidina Umar bahawa:
Maksudnya:
Sesungguhnya apabila beliau berjalan, beliau menyegerakan langkah perjalanannya.” (Tafsir al-Qurtubi:14/72)

Maksudnya ialah langkah yang lebih cepat daripada orang yang lemah dan tidak bermaya. Luqman meneruskan wasiatnya lagi, firman Allah s.w.t:

Maksudnya: dan lunakkanlah suaramu sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai. (Surah Luqman 31:19)

            Allah s.w.t melarang kaum Musyrikin meninggi-ninggikan suara. Mereka sentiasa bermegah-megah dengan ketinggian suara. Oleh kerana setiap tuntutan atau tegahan terhadap orang kafir dan Musyrikin dalam al-Quran turut menjadi kewajipan kepada orang Islam untuk diambil ikhtibar. Merendahkan nada agar suara tersebut tidak menyebabkan orang lain jadi berserabut dan menyakitinya serta tidak membingitkan telinga akibat kuatnya bunyi suara tersebut. Suara yang kuat boleh mengakibatkan kerosakan pada gegendang telinga. Meninggi suara adalah tanda seseorang itu telah terpedaya, hanya mementingkan diri dan tidak prihatin terhadap orang lain.

            Apa yang dimaksudkan dengan sderhana di sini ialah tidak melantangkan suara hingga boleh menimbulkan kemarahan orang lain dan tidak pula terlalu perlahan sehingga langsung tidak kedengaran. Sebaik-baik perkara ialah pertengahan.
            Dalam Sunah Nabawiyah juga terdapat arahan uyang menunjukkan bahawa perlunya menghindarkan diri daripada suasana kebingitan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah S.A.W:

Maksudnya :
Apabila kamu mendengar ayam berkokok, maka pohonlah daripada Allah limpahan rahmat-Nya kerana sesungguhnya dia melihat malaikat. Apabila kamu mendengar suara himar (keldai) maka mintalah perlindungan daripada Allah agar dijauhi daripada syaitan, kerana sesungguhnya dia melihat syaitan.” (Sahih Muslim, Tafsir al-Munir: 21/152)

            Demikianlah, dilakarkan nilai-nilai moral yang terkandung di dalam metode yang unggul, memancarkan nur dan hidayah ke dalam jiwa manusia bagi mendapatkan taufik kepada amal yang praktikal. Wasiat silam yang bertepatan dengan nilai etika semasa. Wasiat Luqman merupakan wasiat agama yang menggarap kemaslahan individu, Jemaah dan ummah keseluruhannya pada setiap masa dan ketika.
Wallahualam.. J


Tuesday 23 April 2013

Wahai al-Faqir bersyukurlah!


Bersyukur Boleh Melipat Gandakan Lagi Nikmat

Sebahagian Salafus Soleh mengatakan : “Sesiapa yang diberikan empat perkara tidak akan terhijab daripada empat perkara lain :
v  Siapa yang mendapat sesuatu lalu bersyukur tidak akan terhijab daripada bertambahnya rezeki. Perkara ini bertepatan dengan firman Allah Azza wajalla :

Maksudnya :
Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu : “Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar; sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Surah Ibrahim 14:7)

v  Siapa yang diberikan hidayah untuk bertaubat maka ia tidak akan terhijab daripada dikabulkan permintaanya (penerimaan Tuhan). Firman Allah Azza wajalla :

Maksudnya :
Dia-lah (Allah) yang menerima taubat daripada hamba-Nya.
(Surah al-Syura 42:25)

v  Siapa yang beristikharah tidak terhijab daripada memperolehi pilihan yang terbaik.

v  Siapa yang berbincang dan bermusyawarah tidak akan terhijab daripada kebenaran.”

Dua hal di atas adalah didasarkan kepada sabda Baginda Rasulullah S.A.W:
Maksudnya :

“Tiada rugi siapa yang beristikharah (memohon daripada Allah petunjuk agar diberi pilihan yang terbaik di antara dua perkara yang baik) dan tidak akan menyesal siapa yang bermusyawarah.”
(Nazarat Hawla Wasaya Luqman al-Hakim)

Allah Azza wajalla memerintahkan supaya mengabdikan diri dan bersyukur kepada-Nya sepertimana yang tersebut di dalam firman Allah Azza wajalla:

Maksudnya:
Sembahlah Allah sahaja dan bersyukurlah kepada-Nya (Surah al-‘Ankabut 29:17)
Imam al-Alusi telah menyebut: “Bersyukurlah kepada Allah Azza wajalla di atas segala nikmat-Nya dengan melakukan ibadah, untuk dijadikan wasilah bagi mencapai segala permintaan, mereka berpaut dengan bersyukur kepada-Nya melalui segala apa yang ada (nikmat-nikmat yang telah dapat dikecapi) bagi mengundang nikmat Allah yang berlipat ganda. Kita dapati di sini Allah wajalla memerintahkan manusia supaya beribadat serta mensyukuri segala nikmat-Nya yang luas dan melimpah-ruah. Itu semua tidak akan terlaksana melainkan dengan keimanan yang benar-benar mantap, ibadat yang ikhlas, redha dengan segala ketentuan Allah, penyerahan diri kepada-Nya secara total.”
(Tafsir Ruh al-Ma’ani: 20/145)

Imam al-Razi menyebut dan bersyukurlah kepada-Ku maknanya gunakanlah bantuan nikmat-Ku untuk mentaati-Ku.
Kaifiat bersyukur seorang Muslim ialah menzahirkan pengiktirafan dengan keyakinan yang mendalam bahawa segala nikmat tersebut adalah semata-mata daripada Allah, bukan selain daripada-Nya. Dari sini, tergambar suatu kewajipan dan kemestian bahawa kesyukuran manusia kepada Allah ialah dengan:

v  Iktikad yang murni
v  Puji-pujian yang diletakkan hanya kepada Allah Azza wajalla yang sememangnya berhak untuk mendapat pujian.
v  Iltizam dengan syariat yang mulia secara menyeluruh.

Setiap amalan baik adalah tetap dihargai. Firman Allah Azza wajalla:

Maksudnya:
(Serta dikatakan kepada mereka): “Sesungguhnya (segala pemberian) ini adalah untuk kamu sebagai balasan dan adalah usaha amal kamu (di dunia dahulu) diterima dan dihargai (oleh Allah).” (Surah al-Insan 76:22)

Dalam ayai ini Ibn Qayyim telah menjelaskan, Allah Azza wajalla telah menghimpunkan dua perkara bagi orang Mukmin iaitu :

v  Penghargaan (syukur) atas usaha orang Mukminin.
v  Penganugerahan ganjaran ke atas mereka.

Wallahualam!

Bertawaduklah...


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah…kerana masih diberi peluang untuk meneruskan penulisan ini bagi sekadar perkongsian untuk semua..dalam hidup ini kita perlu bersifat tawaduk yakni lebih kepada bersifat mahmudah.. Insya Allah saya akan kongsikan bersama kalian tentang sikap tawaduk dalam diri. Allah s.w.t. telah mengurniakan kita akal yang sempurna untuk kita berfikir akan kebesaran Nya. `Tinta Pengarang`.

Tawaduk dan Merendahkan Diri

Rasulullah telah mentafsirkan tawaduk dengan pengertian yang sebaliknya iaitu takabbur . sabda Rasulullah S.A.W:

Maksudnya :

 “Takabbur ialah menzahirkan kebencian terhadap kebenaran dan memperlekehkan manusia lain.” (Riwayat Muslim)
Dapat difahami daripada hadis Rasulullah S.A.W. di atas bahawa terdapat dua kategori takabbur:
1.      Takabbur pada Kebenaran
Sabda Rasulullah S.A.W:

Maksudnya :
“Orang Mukmin adalah seperti unta yang sentiasa patuh dan mudah mengikut, manakala orang munafik dan fasiq adalah hina.”

Untuk membolehkan kita beramal dengan hadis di atas, kita juga perlu memahami kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Fudail ibn ‘Iyad, ketika beliau ditanya tentang sifat tawaduk, lalu beliau menjawab : “Tunduk dan patuh kepada kebenaran serta menerima sesiapa sahaja yang menyuarakan tentang kebenaran.” (Tahzib Madarij al-Salikin : 429)

Saidina Ali k.w.j. telah menggesa supaya kita berusaha untuk mengenali kebenaran itu sendiri, bukan hanya berdasarkan kepada manusia yang berpegang dengan kebenaran tersebut:

Maksudnya :
“Sesungguhnya kebenaran tidak dikenali dengan manusia, tetapi kenalilah kebenaran, nescaya engkau akan mengenali ahlinya.” (Tafsir al-Qurtubi : 1/319)

Orang yang cuba menjadikan manusia sebagai ukuran kepada kebenaran, tidak akan dapat membezakan mana yang hak dan batil. Malahan ia akan tertipu dengan pandangannya sendiri, lantaran tersilap dalam membuat penilaian dalam keadaan dia tidak sedar.

Tidak wajar seseorang itu cuba mengada-adakan dalil yang tidak munasabah dengan membuat penyelewengan dalam soal keagamaan. Tidak sepatutnya kita mencari ruang untuk mewujudkan perselisihan. Perkara yang telah jelas dan melibatkan nas daripada al-Quran dan al-Sunnah tidak boleh disanggah dengan pendapat akal.


Takabbur Terhadap Sesama Manusia 

Untuk membolehkan kita menghindarkan diri dan menjauhi sifat memperlekehkan manusia lain, cuba kita renungi sejenak sabda Rasulullah S.A.W. :

Maksudnya :

“Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku bahawa hendaklah kamu bertawaduk sehingga kamu tidak berbangga-bangga ke atas orang lain dan tidak menganiayai orang.” (Riwayat Abu Daud)

Imam Ibn Qaiyim telah menerangkan bahawa keindahan tawaduk akan dirasai apabila seseorang itu meredhai Muslim yang lain sebagai saudaranya dan pada waktu yang sama Allah juga meredhainya sebagai hamba.

Menunaikan hak walaupun kepada musuh, bersedia memaafkan kesilapan orang lain sedangkan Allah Azza wajalla meredhai seseorang itu sebagai hamba Nya, kenapa pula kita tidak dapat meredhai seseorang itu sebagai sahabat? Tidak meredhai seseorang itu sebagai sahabat bererti takabbur.

Alangkah buruknya apabila seorang hamba bersikap takabbur terhadap manusia lain. Di manakah kewajaran dia tidak meredhai sahabatnya sebagai saudara, sedangkan Allah telah meredhainya sebagai hamba? (Tahzib Madarij al-Salikin : 433)

Imam Ibn Qayyum menjelaskan :

 “Sesiapa yang membuat kesilapan kepadamu kemudian dia datang untuk meminta maaf, maka konsep tawaduk menuntut agar kamu memberi kemaafan kepadanya, sama ada permintaanya itu benar mahupun sebaliknya. Kamu tidak berhak menaruh sebarang prasangka terhadapnya, berserahlah kepada Allah berkaitan apa yang tersembunyi di dalam hatinya. Rasulullah pernah memaafkan tiga orang munafik yang lari daripada peperangan dan menyerahkan kepada Allah menentukan apa sebenarnya yang tersembunyi di hati mereka. (Tahzib Madarij al-Salikin : 433)

Firman Allah Azza wajalla :
Maksudnya :
Maafkanlah mereka dan bebaskanlah mereka. (Surah al-Baqarah 2 :109)

“Maafkanlah” iaitu jangan mengenakan hukuman atas kesilapannya. “Bebaskanlah” iaitu jangan mencela atau menyimpan perasaan dendam di hati. (Tafsir al-Baidawi : 2/361)

            Setiap sifat tidak berdendam itu, ada terkandung kemaafan, tetapi bukan bermakna setiap kemaafan itu terkandung rasa dendam. Seorang Mukmin hendaklah bersepakat daperkara yang telah dipersetujui bersama dan memberi kelonggaran kepada sahabatnya dalam perkara yang terdapatnya perselisihan.

Wallahualam.

Monday 22 April 2013

Wanita Calon Penghuni Syurga


Disusun oleh: Wan Naseira Wan Haron
Tempat: Kediaman Menteri Besar Perak
Tarikh: 5 Ogos 2012 bersamaan 20 Ramadhan 1433
Penceramah :Ustaz Kazim Elias

Apakah makna pohon Nabawiyah?

Pohon Nabawiyah bermaksud keturunan atau satu keluarga Nabi Muhammad S.A.W. Terlebih dahulu kita perlu mengenali dahulu tentang isteri-isteri Nabi S.A.W. yang dikatakan wanita calon penghuni syurga.

Siapakah isteri-isteri Nabi Muhammad S.A.W.?

Antara isteri Nabi Muhammad S.A.W. yang pertama adalah  Khadijah binti Khuwaliq. Baginda telah berkawin dengan Khadijah pada usia 25 tahun dan lebih tua berbanding Khadijah pada ketika itu berusia 40 tahun. Sebelum Khadijah berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah pernah berkahwin dengan seorang lelaki yang bernama Hindun bin Al Halah. Kemudian baginda pernah berkahwin dengan seorang lagi lelaki yang bernama Atib bin Izz. Pada usia 65 tahun Khadijah telah wafat.
Khadijah merupakan isteri nabi yang pertama dan beliau juga telah banyak berkorban kepada Nabi Muhammad S.A.W. Rasulullah pernah menyebut Khadijah adalah penghulu wanita di dalam syurga. Nabi berkata “Sayyidatun nisa’ ahlan jannah Mariam, summa Fatimah, summa Khadijah, summa Asiah.

Siapakah penghulu wanita di dalam syurga?

Mereka ini merupakan ketua wanita di dalam syurga yang mewakili sesiapa sahaja yang akan tinggal di dalam syurga. Antara empat wanita yang bergelar ketua di dalam syurga adalah:
Pertama: Mariam
Ke dua: Fatimah iaitu anak Rasulullah S.A.W.
Ke tiga: Khadijah iaitu Isteri Rasulullah S.A.W.
Ke empat: Asiah iaitu isteri Firaun.

Siapakah isteri nabi yang paling tua?

Isteri nabi yang ke dua ialah Saudah binti Zam’ah r.a. Saudah telah berkahwin dengan Rasulullah S.A.W. di Makah selepas wafatnya Khadijah binti Khuwaliq. Rasulullah S.A.W. pernah mengatakan bahawa Saudah ini di antara perempuan-perempuan yang baik. Saudah merupakan isteri nabi yang paling tua dan isteri yang ke dua sebelum Nabi Muhammad S.A.W. berkahwin dengan Siti Aisyah.
Sehingga pada suatu hari, Saudah pernah berkata kepada Rasulullah S.A.W. “Wahai Rasulullah, tidak perlulah kamu bermalam denganku apabila tiba masanya giliranmu bermalam denganku kerana aku sudah tua berilah kepada yang muda yakni Siti Aisyah r.a.” Saudah telah meninggal pada tahun 55 Hijrah ketika zaman pemerintahan Sayidina Omar Al Khatab.

Siapakah isteri nabi yang pernah difitnah?

Siti Aisyah binti Abu Bakar As-Sidiq r.a. merupakan anak kepada Ummu Al Ruman. Aisyah telah berkahwin dengan Nabi Muhammad S.A.W. ketika usianya hampir tujuh tahun dan tinggal bersama dengan Rasulullah S.A.W. ketika berusia sembilan tahun. Rasulullah S.A.W. telah wafat pada usia Aisyah 18 tahun dan Aisyah telah meninggal ketika umurnya 58 tahun.
Kemudian Siti Aisyah r.a. telah disebutkan oleh Allah S.W.T. di dalam surah An-Nur ayat 26. Dalam huraian ayat tersebut adalah tentang fitnah yang dilemparkan kepada Siti Aisyah kononnya Siti Aisyah melakukan perbuatan sumbang dengan Sofwan bin Mu’atai. Golongan munafik ini telah menuduh dia melakukan kejahatan sehinggalah nabi S.A.W. hampir percaya dengan fitnah tersebut.
Sehinggalah pada suatu hari Aisyah membawa diri untuk balik ke rumah bapanya. Ibunya menyuruh Aisyah meminta maaf kepada Rasulullah S.A.W. Namun Aisyah enggan meminta maaf kerana baginya itu bukanlah kesilapan yang dilakukan olehnya. Aisyah mengatakan bahawa suatu hari Allah S.W.T. akan membuktikan bahawa dia tidak bersalah. Maka turunlah surah An-Nur ayat 26. Membersihkan nama baik Siti Aisyah dari segala perbuatan sumbang yang dilakukannya dan orang yang memfitnahnya adalah orang yang ditolongnya pada setiap hari dan bulan Abu Bakar kepada ayah Aisyah memberikan mereka wang. Walau mereka ini miskin tetapi sanggup mengkhianati Aisyah sehingga dia hampir-hampir menggongcangkan rumah tangga Nabi Muhammad S.A.W.

Siapakah isteri nabi yang diceraikan oleh Rasulullah S.A.W. kemudian dirujuk semula?
Isteri nabi yang ke empat ialah Habsah binti Omar Al Khatab. Sebelum berkahwin dengan Rasulullah S.A.W. Habsah pernah berkahwin dengan Hunaish bin Huzaifah. Namun Hunaish meninggal maka datanglah Sayidina Omar Al Khatab mengadap kepada Ali Abu Talib supaya mengahwini anaknya kerana ketika itu anaknya telah janda. Sayidina Ali lalu tunduk dan diam tanda tidak bersetuju. Kemudian Omar Al Khatab mengadap pula Abu Bakar di mintanya supaya berkahwin dengan anaknya. Namun permintaannya juga ditolak oleh Abu Bakar.
Maka datanglah Omar Al Khatab kepada Rasulullah S.A.W. lalu berkata “wahai Rasulullah S.A.W. anakku ini janda dan tiada sesiapa yang menginginkannya.” Kata rasulullah S.A.W. “kalau mereka tidak inginkan kepada anakmu biarlah aku ambil anak kamu jadi isteriku.”
Habsah binti Omar Al Khatab pernah diceraikan oleh Rasulullah S.A.W. sehinggalah ayahnya Omar Al Khatab menangis atas penceraian mereka. Lalu Omar Al Khatab ini mengambil pasir menabur ke atas kepalanya sendiri sambil mengatakan Allah tidak pedulikan Omar dan anaknya sehinggakan nabi pun sanggup menceraikan anaknya. Maka selepas kejadian itu turunlah Jibril memerintahkan Rasulullah S.A.W. merujuk balik dengan Aisyah. Sesungguhnya Allah Taala memerintahkan nabi merujuk semula dengan Habsah kerana memberi rahmat kepada Omar Al Khatab r.a.

Siapakah isteri nabi yang digelar sebagai Ummu Masaqin?

Ummu Masaqin bermaksud ummu iaitu ibu manakala masaqin adalah orang-orang miskin. Isteri nabi yang paling banyak bersedekah dan sering memberi makan kepada golongan miskin ialah Zainab binti Khuzaimah. Namun Zainab sempat bersama rasulullah selama tiga bulan sehingga beliau menghembus nafas terakhir. Antara isteri nabi yang mati syahid ialah Khadijah Khuwaliq dan Zainab binti Khuzaimah.
Isteri nabi yang ke enam ialah Ummu Salamah binti Abu Umaiyyah yang merupakan janda dan pernah berkahwin dengan Abu Salamah bin Abdul Asah. Antara anaknya ialah Umar, Durrah, Salamah dan Zainab. Anak tiri nabi adalah seramai enam orang. Mereka adalah orang pertama yang berpindah ke Habsyah sehingga Abu Salamah meninggal maka datanglah Ummu Salamah kepada rasulullah S.A.W mengadu kepada baginda bahawa suaminya telah meninggal. Lalu nabi berkata “wahai Ummu Salamah janganlah bersedih dan mintala kepada Allah agar digantikan dengan suami yang lebih baik dari suami kamu yang mati syahid.” Kemudian Salamah mendoakan supaya didatangi suami yang baik. Maka datanglah rasulullah S.A.W selepas itu meminang Ummu Salamah. Kata Ummu Salamah.

Siapakah isteri nabi yang dermawan?

Isteri nabi yang ke tujuh ialah Zainab binti Jahshim merupakan seoprang yang kaya. Beliau pernah berkahwin dengan anak angkat Nabi Muhammad S.A.W. iaitu Zaid bin Harithah. Di dalam surah al-Ahzab ayat ke 37. Kisahnya ialah Zaid anak angkat nabi asalnya meletakkan nama anaknya Zaid bin Muhammad. Turunlah perintah Allah tidak boleh di letakkan nama bapa angkat kepada anak angkat. Maka ditukar kembali kepada Zaid bin Harithah.
Kemudian Zaid tinggal bersama dengan nabi menjadi anak angkatnya. Datanglah Harithah kepada anaknya lalu berkata “wahai ayah, saya ingin tinggal dengan nabi, saya nak berkhidmat kepada nabi S.A.W. Maka tinggallah Zaid bersama-sama nabi ketika itu dalam kesusahan. Apabila Zaid telah dewasa Rasulullah S.A.W. meminangkannya dengan Zainab binti Jahshim. Zainab malu kepada nabi kerana tidak berkenan terhadap Zaid terus pinangan itu diterima oleh Zainab untuk menjadi isteri Zaid.
Kemudian datanglah Zainab kepada Rasulullah S.A.W. mengadu kepada baginda bahawa beliau tidak selesa dengan Zaid dan begitulah sebaliknya Zaid pun turut mengadu akan hal yang sama terhadap Rasulullah S.A.W.

Maka turunlah ayat surah al-Ahzab ayat ke 37:

“Dan ingatkanleh engkau wahai Muhammad ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah dengan nikmat Islam dan juga telah engkau berbuat baik kepadanya. Janganlah engkau ceraikan isterimu dan bertaqwalah kepada Allah. Sambil engaku menyembunyikan hatimu perkara yang Allah nyatakan. Dan engaku pula takut kepada cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engaku takuti.” (Al-Ahzab: 27)

Selepas Zainab kahwin dengan nabi. Rasulullah S.A.W. berkata “isteri aku yang paling cepat meninggal ialah isteriku yang panjang tangannya. Itulah isteri yang akan ikut aku selepas aku meninggal.”
Rupanya selepas baginda wafat yang meninggal slepasnya ialah Zainab binti Jahshim. Zainab adalah isteri yang paling panjang tangannya yakni suka bersedekah. Zainab juga dikatakan ahli syurga dan Aisyah juga pernah mengatakan bahawa Zainab adalah seorang yang panjang tangannya beliau bersedekah melalui hasil perniagaannya.

Apakah hukum suami meninggalkan isteri?

Nabi pernah tinggalkan Zainab selama tiga bulan tidak balik ke rumah kerana Zainab telah mengumpat akan isteri nabi yang bernama Sofiyah binti Huyai. Sofiyah binti Huyai merupakan isteri nabi yang berketurunan Yahudi.
Kemudian baharulah nabi pulang ke rumah setelah Zainab berubah akan sikapnya dan meminta maaf kepada Rasulullah S.A.W. Peristiwa ini menggambarkan hukum meninggalkan isteri daripada bermalam dengan dia sehinggalah dia berubah.

Siapakah isteri nabi yang menjadi tawanan perang?

Juwairiyah binti Harith merupakan isteri nabi yang menjadi hamba tawanan perang yang telah berkahwin dengan Rasulullah S.A.W. Dalam Islam dia ditawan dalam peperangan tentera Islam iaitu dalam peperangan al-Muraisi. Maka dia di tawan oleh seorang lelaki yang bernama Qais bin Syammas. Jika Juwairiyah ingin bebas beliau hendaklah membayar kepada Qais sejumlah wang 360 dirham.
Maka kahwin lah nabi Muhammad dengan seorang hamba tawanan perang iaitu Juwairiyah bagi membebaskan dirinya daripada hamba tawanan perang. Juwairiyah adalah hamba tawanan perang daripada Bani Mustaliq yang tidak beriman kepada Allah. Maka seleuruh kaum Bani Mustaliq telah memeluk agama Islam apabila melihat baginda menjadikan Juwairiyah sebagai isterinya kerana kebaikan nabi terhadap Juwairiyah.