Tuesday 23 April 2013

Bertawaduklah...


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah…kerana masih diberi peluang untuk meneruskan penulisan ini bagi sekadar perkongsian untuk semua..dalam hidup ini kita perlu bersifat tawaduk yakni lebih kepada bersifat mahmudah.. Insya Allah saya akan kongsikan bersama kalian tentang sikap tawaduk dalam diri. Allah s.w.t. telah mengurniakan kita akal yang sempurna untuk kita berfikir akan kebesaran Nya. `Tinta Pengarang`.

Tawaduk dan Merendahkan Diri

Rasulullah telah mentafsirkan tawaduk dengan pengertian yang sebaliknya iaitu takabbur . sabda Rasulullah S.A.W:

Maksudnya :

 “Takabbur ialah menzahirkan kebencian terhadap kebenaran dan memperlekehkan manusia lain.” (Riwayat Muslim)
Dapat difahami daripada hadis Rasulullah S.A.W. di atas bahawa terdapat dua kategori takabbur:
1.      Takabbur pada Kebenaran
Sabda Rasulullah S.A.W:

Maksudnya :
“Orang Mukmin adalah seperti unta yang sentiasa patuh dan mudah mengikut, manakala orang munafik dan fasiq adalah hina.”

Untuk membolehkan kita beramal dengan hadis di atas, kita juga perlu memahami kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Fudail ibn ‘Iyad, ketika beliau ditanya tentang sifat tawaduk, lalu beliau menjawab : “Tunduk dan patuh kepada kebenaran serta menerima sesiapa sahaja yang menyuarakan tentang kebenaran.” (Tahzib Madarij al-Salikin : 429)

Saidina Ali k.w.j. telah menggesa supaya kita berusaha untuk mengenali kebenaran itu sendiri, bukan hanya berdasarkan kepada manusia yang berpegang dengan kebenaran tersebut:

Maksudnya :
“Sesungguhnya kebenaran tidak dikenali dengan manusia, tetapi kenalilah kebenaran, nescaya engkau akan mengenali ahlinya.” (Tafsir al-Qurtubi : 1/319)

Orang yang cuba menjadikan manusia sebagai ukuran kepada kebenaran, tidak akan dapat membezakan mana yang hak dan batil. Malahan ia akan tertipu dengan pandangannya sendiri, lantaran tersilap dalam membuat penilaian dalam keadaan dia tidak sedar.

Tidak wajar seseorang itu cuba mengada-adakan dalil yang tidak munasabah dengan membuat penyelewengan dalam soal keagamaan. Tidak sepatutnya kita mencari ruang untuk mewujudkan perselisihan. Perkara yang telah jelas dan melibatkan nas daripada al-Quran dan al-Sunnah tidak boleh disanggah dengan pendapat akal.


Takabbur Terhadap Sesama Manusia 

Untuk membolehkan kita menghindarkan diri dan menjauhi sifat memperlekehkan manusia lain, cuba kita renungi sejenak sabda Rasulullah S.A.W. :

Maksudnya :

“Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku bahawa hendaklah kamu bertawaduk sehingga kamu tidak berbangga-bangga ke atas orang lain dan tidak menganiayai orang.” (Riwayat Abu Daud)

Imam Ibn Qaiyim telah menerangkan bahawa keindahan tawaduk akan dirasai apabila seseorang itu meredhai Muslim yang lain sebagai saudaranya dan pada waktu yang sama Allah juga meredhainya sebagai hamba.

Menunaikan hak walaupun kepada musuh, bersedia memaafkan kesilapan orang lain sedangkan Allah Azza wajalla meredhai seseorang itu sebagai hamba Nya, kenapa pula kita tidak dapat meredhai seseorang itu sebagai sahabat? Tidak meredhai seseorang itu sebagai sahabat bererti takabbur.

Alangkah buruknya apabila seorang hamba bersikap takabbur terhadap manusia lain. Di manakah kewajaran dia tidak meredhai sahabatnya sebagai saudara, sedangkan Allah telah meredhainya sebagai hamba? (Tahzib Madarij al-Salikin : 433)

Imam Ibn Qayyum menjelaskan :

 “Sesiapa yang membuat kesilapan kepadamu kemudian dia datang untuk meminta maaf, maka konsep tawaduk menuntut agar kamu memberi kemaafan kepadanya, sama ada permintaanya itu benar mahupun sebaliknya. Kamu tidak berhak menaruh sebarang prasangka terhadapnya, berserahlah kepada Allah berkaitan apa yang tersembunyi di dalam hatinya. Rasulullah pernah memaafkan tiga orang munafik yang lari daripada peperangan dan menyerahkan kepada Allah menentukan apa sebenarnya yang tersembunyi di hati mereka. (Tahzib Madarij al-Salikin : 433)

Firman Allah Azza wajalla :
Maksudnya :
Maafkanlah mereka dan bebaskanlah mereka. (Surah al-Baqarah 2 :109)

“Maafkanlah” iaitu jangan mengenakan hukuman atas kesilapannya. “Bebaskanlah” iaitu jangan mencela atau menyimpan perasaan dendam di hati. (Tafsir al-Baidawi : 2/361)

            Setiap sifat tidak berdendam itu, ada terkandung kemaafan, tetapi bukan bermakna setiap kemaafan itu terkandung rasa dendam. Seorang Mukmin hendaklah bersepakat daperkara yang telah dipersetujui bersama dan memberi kelonggaran kepada sahabatnya dalam perkara yang terdapatnya perselisihan.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment