Tuesday 23 April 2013

Wahai al-Faqir bersyukurlah!


Bersyukur Boleh Melipat Gandakan Lagi Nikmat

Sebahagian Salafus Soleh mengatakan : “Sesiapa yang diberikan empat perkara tidak akan terhijab daripada empat perkara lain :
v  Siapa yang mendapat sesuatu lalu bersyukur tidak akan terhijab daripada bertambahnya rezeki. Perkara ini bertepatan dengan firman Allah Azza wajalla :

Maksudnya :
Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu : “Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar; sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Surah Ibrahim 14:7)

v  Siapa yang diberikan hidayah untuk bertaubat maka ia tidak akan terhijab daripada dikabulkan permintaanya (penerimaan Tuhan). Firman Allah Azza wajalla :

Maksudnya :
Dia-lah (Allah) yang menerima taubat daripada hamba-Nya.
(Surah al-Syura 42:25)

v  Siapa yang beristikharah tidak terhijab daripada memperolehi pilihan yang terbaik.

v  Siapa yang berbincang dan bermusyawarah tidak akan terhijab daripada kebenaran.”

Dua hal di atas adalah didasarkan kepada sabda Baginda Rasulullah S.A.W:
Maksudnya :

“Tiada rugi siapa yang beristikharah (memohon daripada Allah petunjuk agar diberi pilihan yang terbaik di antara dua perkara yang baik) dan tidak akan menyesal siapa yang bermusyawarah.”
(Nazarat Hawla Wasaya Luqman al-Hakim)

Allah Azza wajalla memerintahkan supaya mengabdikan diri dan bersyukur kepada-Nya sepertimana yang tersebut di dalam firman Allah Azza wajalla:

Maksudnya:
Sembahlah Allah sahaja dan bersyukurlah kepada-Nya (Surah al-‘Ankabut 29:17)
Imam al-Alusi telah menyebut: “Bersyukurlah kepada Allah Azza wajalla di atas segala nikmat-Nya dengan melakukan ibadah, untuk dijadikan wasilah bagi mencapai segala permintaan, mereka berpaut dengan bersyukur kepada-Nya melalui segala apa yang ada (nikmat-nikmat yang telah dapat dikecapi) bagi mengundang nikmat Allah yang berlipat ganda. Kita dapati di sini Allah wajalla memerintahkan manusia supaya beribadat serta mensyukuri segala nikmat-Nya yang luas dan melimpah-ruah. Itu semua tidak akan terlaksana melainkan dengan keimanan yang benar-benar mantap, ibadat yang ikhlas, redha dengan segala ketentuan Allah, penyerahan diri kepada-Nya secara total.”
(Tafsir Ruh al-Ma’ani: 20/145)

Imam al-Razi menyebut dan bersyukurlah kepada-Ku maknanya gunakanlah bantuan nikmat-Ku untuk mentaati-Ku.
Kaifiat bersyukur seorang Muslim ialah menzahirkan pengiktirafan dengan keyakinan yang mendalam bahawa segala nikmat tersebut adalah semata-mata daripada Allah, bukan selain daripada-Nya. Dari sini, tergambar suatu kewajipan dan kemestian bahawa kesyukuran manusia kepada Allah ialah dengan:

v  Iktikad yang murni
v  Puji-pujian yang diletakkan hanya kepada Allah Azza wajalla yang sememangnya berhak untuk mendapat pujian.
v  Iltizam dengan syariat yang mulia secara menyeluruh.

Setiap amalan baik adalah tetap dihargai. Firman Allah Azza wajalla:

Maksudnya:
(Serta dikatakan kepada mereka): “Sesungguhnya (segala pemberian) ini adalah untuk kamu sebagai balasan dan adalah usaha amal kamu (di dunia dahulu) diterima dan dihargai (oleh Allah).” (Surah al-Insan 76:22)

Dalam ayai ini Ibn Qayyim telah menjelaskan, Allah Azza wajalla telah menghimpunkan dua perkara bagi orang Mukmin iaitu :

v  Penghargaan (syukur) atas usaha orang Mukminin.
v  Penganugerahan ganjaran ke atas mereka.

Wallahualam!

No comments:

Post a Comment