Thursday 25 April 2013

Awasi Sifat Ego dan Bersederhanalah


Alhamdulillah..syukur… Blog indahnya percaturan Mu kali ini akan kongsikan sedikit tentang perihal sikap ego. Ego yang menebal dalam diri menyebabkan kita gagal untuk mengawasi diri dan orang yang berada di sekeliling kita. Oleh itu, kita haruslah bersikap optimis dalam sesuatu perkara dan jangan hanya mengikut hati kita tika emosi dan fikiran terganggu.. Insya Allah… Tinta Pengarang.

Firman Allah s.w.t:

Maksudnya:
Janganlah engkau palingkan pipi (muka) engkau terhadap manusia (kerana sombong), dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takabbur bagi membanggakan diri. (Surah Luqman 31:18)

            Seterusnya Luqman mengingatkan anaknya, “Janganlah palingkan mukamu daripada manusia lantaran kesombongan dan keegoanmu terhadap mereka, sebaliknya temuilah mereka dengan wajah yang ceria dan berseri-seri tanpa ada rasa takabbur dan meninggi diri. Janganlah kamu berjalan di atas muka bumi ini dalam keadaan yang angkuh kerana sifat tersebut antara perkara yang menjadikan kemurkaan Allah s.w.t.

            Bersederhanalah pada setiap langkahmu. Janganlah menunjukkan sifat lemah dan tidak berdaya ketika berjalan dan terkinja-kinja seperti orang nakal.” Al-Sa’r adalah penyakit yang dihidapi oleh unta menyebabkan ia memalingkan tengkoknya. Ia merupakan gambaran dan perumpamaan yang dilukiskan oleh al-Quran dalam tegahan “wala tuso’ ‘iru.” Ini adalah perumpamaan bagi Muslim yang menyeru Allah s.w.t dalam keadaan berbangga, gerak geri yang menggambarkan sifat angkuh dan sombong. Memalingkan muka daripada manusia lain dalam keadaan takabbur dan kagum dengan diri sendiri dan tidak prihatin dengan orang lain. Ini semua boleh menimbulkan kemarahan manusia dan telah pun jelas membuktikan bahawa mereka menghidap penyakit. (Fi Zilal al-Quran: 5/2790)

Luqman mengingatkan anaknya, firman Allah s.w.t:

Maksudnya:
Dan sederhanakanlah langkah perjalananmu. (Surah Luqman 31:19)
Maksud firman Allah s.w.t di atas ialah tidak tergopoh-gapah dan tidak mencari jalan untuk bersifat bongkak. Langkah yang sederhana menuju kepada matlamat mulia, tidak sambil lewa dan sombong. Mengatur langkah menuju cita-cita dengan ceria dan progresif. (Fi Zilal al-Quran :5/2790)

Daripada Abu Hurairah Nabi S.A.W:

Maksudnya:
“Berjalan tergopoh-gapah menghilangkan haibah seorang Mukmin.”
(Riwayat Abu Naim)

Saidatina Aisyah menjelaskan tentang peribadi Saidina Umar bahawa:
Maksudnya:
Sesungguhnya apabila beliau berjalan, beliau menyegerakan langkah perjalanannya.” (Tafsir al-Qurtubi:14/72)

Maksudnya ialah langkah yang lebih cepat daripada orang yang lemah dan tidak bermaya. Luqman meneruskan wasiatnya lagi, firman Allah s.w.t:

Maksudnya: dan lunakkanlah suaramu sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai. (Surah Luqman 31:19)

            Allah s.w.t melarang kaum Musyrikin meninggi-ninggikan suara. Mereka sentiasa bermegah-megah dengan ketinggian suara. Oleh kerana setiap tuntutan atau tegahan terhadap orang kafir dan Musyrikin dalam al-Quran turut menjadi kewajipan kepada orang Islam untuk diambil ikhtibar. Merendahkan nada agar suara tersebut tidak menyebabkan orang lain jadi berserabut dan menyakitinya serta tidak membingitkan telinga akibat kuatnya bunyi suara tersebut. Suara yang kuat boleh mengakibatkan kerosakan pada gegendang telinga. Meninggi suara adalah tanda seseorang itu telah terpedaya, hanya mementingkan diri dan tidak prihatin terhadap orang lain.

            Apa yang dimaksudkan dengan sderhana di sini ialah tidak melantangkan suara hingga boleh menimbulkan kemarahan orang lain dan tidak pula terlalu perlahan sehingga langsung tidak kedengaran. Sebaik-baik perkara ialah pertengahan.
            Dalam Sunah Nabawiyah juga terdapat arahan uyang menunjukkan bahawa perlunya menghindarkan diri daripada suasana kebingitan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah S.A.W:

Maksudnya :
Apabila kamu mendengar ayam berkokok, maka pohonlah daripada Allah limpahan rahmat-Nya kerana sesungguhnya dia melihat malaikat. Apabila kamu mendengar suara himar (keldai) maka mintalah perlindungan daripada Allah agar dijauhi daripada syaitan, kerana sesungguhnya dia melihat syaitan.” (Sahih Muslim, Tafsir al-Munir: 21/152)

            Demikianlah, dilakarkan nilai-nilai moral yang terkandung di dalam metode yang unggul, memancarkan nur dan hidayah ke dalam jiwa manusia bagi mendapatkan taufik kepada amal yang praktikal. Wasiat silam yang bertepatan dengan nilai etika semasa. Wasiat Luqman merupakan wasiat agama yang menggarap kemaslahan individu, Jemaah dan ummah keseluruhannya pada setiap masa dan ketika.
Wallahualam.. J


No comments:

Post a Comment